PROGRAM NILAM

PROGRAM NILAM

Usaha-usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggalakkan minat membaca pelajar


Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999. Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan

Program NILAM


‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.


 Matlamat Program NILAM


Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.


Objektif program NILAM


• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini


Komponen yang terdapat dalam Program NILAM


 Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
• Mengesahkan rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.



Bagaimanakah pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan dilakukan?


Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan dilakukan bersempena dengan Anugerah NILAM Kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun yang sama. Calon-calon dari 4 kategori iaitu calon Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk memilih pemenang mengikut kategori dan juga Tokoh NILAM Sekolah Rendah serta Tokoh NILAM Sekolah Menengah di kalangan pemenang kategori tersebut.
Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan merupakan pengiktirafan tertinggi KPM dalam usaha membina tabiat membaca dalam kalangan murid selaras dengan hasrat negara melahirkan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan menjelang 2020 apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju.


Manfaat Program NILAM kepada pelajar



Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah dilaksanakan di setiap sekolah di Malaysia. Program ini banyak memberikan manfaat kepada para murid.

Antara manfaat program NILAM ialah dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini terjadi apabila para murid diwajibkan membaca dan terus membaca untuk direkodkan ke dalam buku Rekod NILAM. Membaca secara berterusan boleh menyebabkan amalan tersebut kekal menjadi tabiat.

Selain itu, program ini juga mampu memberi pengiktirafan kepada para murid. Murid yang mencatat bacaan yang terbanyak dalam buku Rekod NILAM akan dianugerahkan gelaran Tokoh NILAM. Anugerah yang diberi akan menjadi perangsang kepada murid untuk lebih berjaya.

Seterusnya, melalui program NILAM ini jugamurid-murid dapat memperluas pengetahuan masing-masing. Pengetahuan murid-murid akan bertambah ekoran membaca pelbagai jenis buku yang sudah pastinya mengandungi banyak ilmu. Hal ini bersesuai dengan kata pepatah Melayu iaitu membaca jambatan ilmu.

Di samping itu, program NILAM jugamembolehkan murid-murid menggunakan masa terluang dengan berfaedah. Masa lapang yang ada digunakan untuk membaca bersama keluarga dan rakan-rakan. Oleh yang demikian, mereka dapat terhindar daripada melakukan aktiviti yang tidak senonoh.


Sesungguhnya program NILAM memang banyak mendatangkan manfaat kepada murid-murid. Peluang terbaik ini hendaklah direbut oleh semua murid demi kebaikan sendiri.

Modus Operandi Program NILAM




1 Pelajar membaca

   2 Pelajar mencatat maklumat yang dibaca di dalam buku rekod bacaan 

   3 Guru dihendaki mengesahkan aktiviti bacaan yang dijalankan itu

   4 Jawatankuasa program NILAM peringkat sekolah membuat penilaian

   5 Menyediakan laporan NILAM di dalam borang NILAM ( hantar ke BTPN pada bulan Mac,Jun, September dan November)

   6 Pengiktirafan peringkat sekolah

   7 Wakil individu, kelas dan sekolah diberi pengiktirafan di peringkat negeri


Lirik lagu NILAM

Membaca dan belajar amalan hidup mulia
Jadikanlah panduan wawasan anda
NILAM program membaca memberikan semangat
Menbaca dengan jaya budaya kita

Bina tabiat membaca matlamat Nilam kita 
Ganjaran yang diberi tidak terhingga 
Jadi Pakan Pembaca juga capai Jauhari 
Pembaca yang bestari anugerah diberi

NILAM NILAM anugerah NILAM
Menerangi jalan suram 
NILAM NILAM anugerah NILAM
Idaman pembaca jaya